Sunday, March 8, 2015

Kerana CINTA, Wanita Serahkan RM5.1 juta kepada kekasih alam maya??



CALIFONIA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang wanita mengaku menghabiskan sehingga AS$1.4 juta (RM5.1 juta) termasuk menggadaikan apartmennya untuk kekasihnya yang hanya dikenali menerusi laman sosial.


Bagaimanapun, wanita itu memberitahu media, dia tidak pernah menyesal untuk berbuat demikian demi lelaki yang dicintainya.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, wanita yang hanya menggelar dirinya sebagai Sarah itu berkata, walaupun sudah mengalami perceraian sebanyak dua kali, dia mengakui masih tidak serik untuk menjalin hubungan cinta.

Kata Sarah lagi, meskipun dia tidak pernah bertemu dengan lelaki yang dipanggil Chris Olsen, perkenalan selama 18 bulan dan perbualan berjam-jam menerusi telefon tidak pernah menggoyahkan perasaannya.

Sebaliknya, wanita itu bertambah yakin untuk memindahkan sejumlah besar wang ke akaun lelaki itu setelah didesak berulang kali oleh Olsen.

“Walaupun suara dan loghat percakapannya sering berubah, tapi saya yakin 95 peratus dia benar-benar wujud.

“Dia beritahu saya dia berasal dari Milan dan menjalankan perniagaan di Afrika Selatan,” kata Sarah seperti yang dipetik menerusi laporan portal berkenaan.

Dalam masa yang sama, lelaki tersebut turut mendakwa bekerja di Nigeria dan Benin di Afrika Barat.

Menurut Sarah lagi, Olsen juga memberitahu sering ditangkap dan ditahan polis setiap kali lelaki itu cuba melintasi sempadan AS semata-mata untuk berjumpa dengannya.

“Dia sangat baik dan lemah-lembut. Tidak mungkin dia akan menipu saya.

“Saya percaya dia (Olsen) menganggap saya sebagai isterinya,” katanya lagi.

Sarah yang yakin dengan kejayaan hubungannya kini bergantung kepada seorang pengacara televisyen eksklusif, Dr Phil untuk membantu menyatukan mereka berdua.

No comments:

Post a Comment