Cerita dari mulut ke mulut mengatakan sejarah asal-usul nama Kampung Lubok Jong bermula dengan peristiwa seorang lelaki bernama Awang Buntal yang mengemudi kapal laut China.
Seorang penduduk yang ditemui, Nik Lah Nik Soh, 74, berkata, dia sendiri tidak mengetahui kesahihan cerita tersebut yang disampaikan secara turun-temurun oleh golongan orang-orang lama di kampung berkenaan.
Menurutnya, cerita tersebut seakan-akan sama dengan dongeng Si Tanggang yang ditimpa malapetaka akibat menderhaka kepada ibunya.
"Mengikut ceritanya, kemiskinan menyebabkan Awang Buntal mengambil keputusan untuk mengembara ke luar negeri dan meninggalkan kedua ibu bapanya, iaitu Pak Buntal dan Mak Buntal.
"Beberapa lama setelah pemergiannya, Awang Buntal berjaya mengecap kemewahan dan bergelar saudagar yang amat kaya," katanya.
Nik Lah menceritakan, Awang Buntal kembali ke kampung halamannya dengan mengemudi kapal laut China dan berlabuh di lubok dekat kampung berkenaan.
Katanya, apabila mendapat tahu anaknya telah kembali, Mak Buntal dan Pak Buntal segera mencarinya di sungai berkenaan dan mereka berasa gembira apabila dapat melihat kapal laut China yang besar dari jauh.
"Bagaimanapun harapan Mak Buntal dan Pak Buntal hancur apabila Awang Buntal tidak mengakui mereka sebagai orang tuanya dan kedua-duanya dihalau.
"Balasan akibat menderhaka, ribut yang kuat telah melanda kawasan berkenaan dan seterusnya panahan kilat telah mengenai kapal laut Awang Buntal menyebabkan berlaku kebakaran besar," katanya.
Menurut cerita Nik Lah, sebahagian kapal Awang Buntal tenggelam dan hanya jong atau kepala kapal berjaya diselamatkan oleh penduduk sebelum ia turut tenggelam beberapa jam selepas kebakaran.
Tambah Nik Lah, cerita misteri di sebalik peristiwa itu mungkin sekadar dianggap mitos, namun terdapat penduduk mendakwa melihat bayangan jong tenggelam timbul sepertimana terdapat dalam cerita berkenaan.
"Berikutan peristiwa itu jugalah, kampung ini diberi nama bersempena kapal yang berlabuh berdekatan lubok dan jong terbakar," katanya.
Tambah Nik Lah, cerita misteri di sebalik peristiwa itu mungkin sekadar dianggap mitos, namun terdapat penduduk mendakwa melihat bayangan jong tenggelam timbul sepertimana terdapat dalam cerita berkenaan.
"Berikutan peristiwa itu jugalah, kampung ini diberi nama bersempena kapal yang berlabuh berdekatan lubok dan jong terbakar," katanya.
No comments:
Post a Comment